Maklumat am Anugerah_Bintang_Popular_Berita_Harian_2009

Apa yang menarik mengenai ABPBH 2009 adalah para peminat boleh mengundi seniman kegemaran mereka melalui khidmat pesanan ringkas (SMS)[3] selain mengerat borang dari akhbar Berita Harian dan Harian Metro untuk dihantar melalui pos.

Senarai calon akhir untuk 16 kategori yang boleh diundi untuk ABPBH 2009 diumumkan di sebuah sidang media di Royal Ballroom 3, Palace of The Golden Horses, Mines City Resort pada 20 Januari 2010.[1] Para pengundi diberi masa hingga 19 Mac 2010 untuk menentukan pemenang setiap anugerah.

Siti Nurhaliza mengumumkan hasratnya untuk mengundurkan diri dari pencalonan ABPBH selepas ini. Beliau mahu berehat untuk seketika kerana telah melalui suatu proses yang panjang dalam berkempen. Beliau gembira setelah melihat peningkatan dari segi senarai finalis ABPBH dan wujudnya pelapis yang baru.[4]

Jelajah ABPBH kali ini hanya dilangsungkan di empat tempat merangkumi Semenanjung Malaysia.[5] Jelajah bermula di Village Mall, Sungai Petani, Kedah (5 & 6 Mac 2010), diikuti Mesra Mall, Kemasek, Kemaman, Terengganu (12 & 13 Mac 2010), Plaza Angsana, Johor Bahru (20 & 21 Mac 2010) dan Klang Parade, Klang (26, 27 & 28 Mac 2010). Dilaporkan 10,000 orang berpusu-pusu bertemu dengan artis di sesi Johor Bahru,[6] diikuti 10,000 lagi di Klang Parade.[7]

Kiraan undi diumumkan selesai di Balai Berita (ibu pejabat Berita Harian) pada petang 2 April, dengan lebih 400,000 borang undian yang dikira dan 220,000 hantaran undian SMS[8] dari para pembaca. Tetapi, pada awal hari itu, negara dikejutkan dengan pemergian salah seorang calon ABPBH 2009, iaitu Din Beramboi yang julung kali dicalonkan untuk Penyampai Radio Lelaki Paling Popular.